Friday, October 12, 2012

ERTI PERSAHABATAN


Sahabat sejati adalah sahabat yang kasih- mengasihi antara satu sama lain kerana ALLAH. Sahabat sejati adalah teman rapat yang menjadi rujukan, mendamba nasihat, meminta bantuan dan seumpamanya. Sahabat sejati bukanlah seperti kawan-kawan biasa, atau kenalan-kenalan rapat, bahkan sahabat sejati adalah sahabat ketika senang dan ketika susah. Keikhlasan dalam bersahabat adalah kesabaran dalam mengharungi susah dan senang, tidak mengambil kesempatan ke atas sahabatnya dan sebagainya.



Memperolehi sahabat sejati bukanlah sesuatu yang mudah. Bukan dalam masa sehari dua kenal, bahkan ia adalah anugerah ALLAH. Lihatlah bagaimana para sahabat Nabi yang ulung seperti Saiyidina Abu Bakr. Sejatinya persahabatan beliau dengan Nabi SAW bukanlah ketika saat mengetahui Nabi diangkat menjadi Rasul semata-mata, bahkan sejak mula lagi. Saling percaya mempercayai dalam persahabatn inilah, ALLAH mengiktiraf dan memilih beliau untuk menemani RasuluLLAH berhijrah ke Yatsrib (Madinah).

Berkawan bertahun-tahun, bergurau senda, berkerja bersama-sama, belum tentu boleh menjadi sahabat sejati. Ukhuwwah yang dibina atas dasar perkauman, prejudis dan bermotif keuntungan adalah tidak mengupaya untuk mendamba sahabat sejati. Lihatlah bagaimana akhirnya kamu pernah mendengar fenomena 'kawan makan kawan' dan 'kawan tikam belakang' yang menjadikan seseorang itu kecewa dengan persahabatan yang dibina bertahun-tahun.

Sahabat sejati tidak memilih untuk menyakiti hati sahabatnya samada secara jelas terang ataupun secara sindiran dan tersembunyi. Antara formula untuk mengenali seseorang, engkau dianjurkan bermusafir dengannya beberapa hari, barulah engkau dapat menilai watak dan sifat seseorang secara tidak langsung. Ujilah sahabatmu dengan sesuatu yang membuatkan dia sangat marah kepadamu, di mana dalam keadaan sangat marah itu dia masih tenang dan memberi nasihat kepadamu, maka itulah sebaik-baik sahabat yang boleh engkau bersahabat dengannya. Jika sebaliknya ia memarahi engkau dengan marah yang bengis atau mengugut engkau dengan sesuatu, ia bukanlah sahabat yang sejati. Berlepas dirilah engkau darinya, mohon maaf atas kesilapan engkau dan dia adalah kawan biasa semata-mata.

Sahabat sejati tidak akan mengkhianati sahabat dan persahabatannya denganmu. Sahabat sejati adalah sahabat yang benar-benar ikhlas bersahabat denganmu, dan persahabatan itu atas dasar taqwa - berterusan hinggalah ke hari kemudian. Ketahuilah bahawa ALLAH berfirman di dalam al-Quran, bahawa pada hari tersebut (akhirat), teman rapat (semasa) di dunia akan saling bermusuhan , melainkan orang-orang bertaqwa.

الأخلاء يومئذ بعضهم لبعض عدو إلا المتقين

"Teman-teman akrab pada hari itu sebagiannya menjadi musuh bagi sebagian yang lain kecuali orang-orang yang bertakwa."

Surah az-zukhruf :67

Hanya persahabatan atas landasan taqwa sahaja akan berkekalan hingga ke hari kemudian - menuju syurga ALLAH. Manakala persahabatan yang jauh dari landasan Taqwa akan berakhir dengan permusuhan, paling tidak di hadapan ALLAH kelak mereka akan saling tudng menuding, musuh memusuhi sesama sendiri.

Jika terdapat sahabat bersikap memusuhi, mengkhianati, bermasam muka dan seumpamanya akibat daripada kesilapan engkau yang sedikit terhadapnya, tidaklah layak untuk engkau menjadikannya sahabat. Di dunia lagi sudah menunjukkan sikap demikian, tidak hairan jika di akhirat kelak mereka akan menjadi seperti firman ALLAH yang disebutkan.

Apakah namanya sahabat sejati yang dibina atas ukhuwwah Islamiyyah jika kesilapan yang engkau lakukan dibalas dengan amarah yang melampau, bengis, membocor rahsia bersama, memulau, memaki hamun dan pelbagai kata nista? Maka engkau jangan sekali-kali bersikap demikian kerana ia amat jauh dari akhlak akhlak bersahabat.

janganlah engkau menyakiti sahabatmu. jika dia melakukan kesilapan, tegurlah dia dengan baik. Jika dia enggan berubah kepada kebaikan, janganlah engkau mengejinya. berilah amaran tentang akibat buruk yang akan menimpanya sekiranya berterusan melakukan sedemikian. Jika dia tetap berdegil, berlepas dirilah engkau daripadanya dengan cara yang baik. Jangan sekali-kali engkau mengkhianatinya, kerana kelak pasti engkau akan dikhianati jua. ALLAH itu Maha Adil dan Maha Membalas setiap perbuatan hamba-Nya.

Jadilah sahabat sejati kepada sahabat engkau, semoga engkau memperoleh sahabat yang sejati, yang akan bersama-sama menuju ke syurga ALLAH.


WaLLHU a'lam

1 comment: