Thursday, April 14, 2011

Doa Menghadapi Peperiksaan




Assalamualaikum dan salam sejahtera buat seluruh rakan-rakan mahasiswa. Bagaimana dengan persediaan peperiksaan rakan-rakan semua? Semoga rakan-rakan dapat melalui minggu persediaan peperiksaan ini dengan penuh disiplin dan tekun mengulangkaji setiap subjek yang telah dipelajari pada semester ini.

Pada artikel ana sebelum ini, ana menyeru seluruh rakan-rakan agar tidak melupakan akan tanggungjawab kita sebagai hamba ALLAH dalam keadaan kita sibuk dengan persiapan peperiksaan itu. Kita mahukan kejayaan yang diberkati oleh ALLAH di dunia dan akhirat bukan hanya sekadar sebuah kejayaan yang hanya mampu memberi kegembiraan di dunia sahaja.

Oleh itu, ana telah menyediakan secara khusus beberapa keratan doa buat seluruh rakan-rakan mahasiswa yang sedang bertungkus-lumus bersiap untuk menghadapi peperiksaan bermula Isnin depan agar kita lebih yakin dan tenang untuk berdepan ujian minda nanti.

Mari kita baca dan amalkan, mudah-mudahan kita akan dipermudahkan oleh ALLAH dalam segala persediaan yang kita lakukan nanti insya ALLAH.

Doa agar dikurniakan kefahaman dan ingatan yang kukuh selepas mengulangkaji


اللَّهُمَّ ارْزُقْنَا فَهْمَ النَّبِيِّينَ وَحِفْظَ المُرْسَلِينَ وإلْهَامَ المَلاَئِكَةِ المُقَرَّبِينَ فِي عَافِيَةٍ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ

Wahai Tuhanku, kurniakanlah kami kefahaman para Nabi dan hafazan para Rasul, serta ilham daripada para Malaikat yang hampir dengan-Mu, kurniakanlah kami kesihatan wahai Tuhan yang Maha Pengasih.”

Doa sebelum memasuki dewan peperiksaan

وَهَيِّئْ لَنَا مِنْ أَمْرِنَا رَشَدا

Ya Allah, persiapkanlah kami akan urusan kami dengan petunjuk-Mu. 

Doa apabila terlupa ketika menjawab peperisaan

سُبْحَانَ مَن لاَّ يَنَامُ وَلاَ يَسْهُو. اللَّهُمَّ ذَكِّرْنِي مَا نَسِيتُ

Maha Suci Tuhan yang tidak pernah tidur dan tidak pernah lupa. Wahai Tuhanku, ingatkanlah daku apa-apa yang kulupa. 


Doa memohon kejayaan yang cemerlang

اللَّهُمَّ إني أسْألُكَ الفَوْزَ عِنْدَ القَضَاءِ وَمَنَازِلَ الشُهَدآءِ وَعَيْشَ السُّعَدآءِ وَالنَّصْرُ عَلَى الأعْدآءِ

Ya Allah, kami memohon daripada-Mu kejayaan dalam setiap ketentuan, tempat para syuhada’, dan kehidupan mereka yang bahagia serta kemenangan ke atas musuh.

Semoga kita semua dapat mengamalkan doa ini dan bertawakkal sepenuhnya kepada ALLAH setelah berusaha dengan gigih bagi menghadapi peperiksaan akhir semester ini. Ana mendoakan agar rakan-rakan mahasiswa dapat menggapai kejayaan yang cemerlang seterusnya menggembirakan hati kedua ibu bapa kita yang sentiasa mendambakan kejayaan anak-anak mereka dalam tempoh menuntut ilmu ini.

Yakinlah bahawa, setiap usaha itu pasti akan ada balasannya yang setimpal. Sesungguhnya ALLAH SWT pasti tidak akan sesekali mempersiakan usaha hamba-hamba-Nya dalam semua perkara. Oleh itu, sekali lagi  ana menyeru agar rakan-rakan melipatgandakan usaha sementara ruang masa yang berbaki ini seterusnya dapat melangkah ke dewan peperiksaan dengan penuh yakin dan bertawakkal kepada-Nya.

"Bersama Melangkah Menginspirasi Ummah"

No comments:

Post a Comment